Pengenalan
Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang menjadi masalah utama kesihatan awam antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Penyakit ini biasanya berlangsung selama 10 hari dan kadang-kadang memerlukan masa yang lama untuk sembuh sepenuhnya. Jenis demam denggi yang lebih merbahaya ialah demam denggi berdarah. Ia merupakan punca utama kematian kanak-kanak di kebanyakan negara hari ini. Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes yang infektif kepada manusia melalui gigitannya. Penyakit denggi kerap berlaku di kawasan bandar jika dibandingkan dengan luar bandar. Sehingga kini masih belum ada ubat untuk mengubati penyakit ini.
Ciri-ciri Penyakit Denggi
Penyakit denggi disebabkan oleh sejenis kuman virus yang dipanggil virus denggi. Virus ini tergolong dalam keluarga Togaviridae. Ia merupakan virus yang berkembang biak dalam serangga. Terdapat 4 jenis 'serotype' virus yang telah dikenalpasti iaitu Denggi 1, 2, 3 dan 4. Semua jenis serotype ini boleh meransang pembentukan antibodi yang berbeza-beza. Namun begitu kekebalan yang dihasilkan oleh pertahanan badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ia akan hanya melindungi individu untuk jenis virus tersebut sahaja. Virus ini masuk ke dalam peredaran darah manusia melalui gigitan nyamuk Aedes yang infektif dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu 4-5 hari pada tahap awal penyakit.
Demam denggi tebahagi kepada dua jenis iaitu Demam Denggi Klasikal dan juga Demam Denggi Berdarah. Bagi Demam Denggi Klasikal atau juga pernah dinamakan sebagai 'demam patah tulang' atau 'breakbone fever', tanda-tanda demam denggi ini bergantung kepada usia pengidap tersebut. Pada bayi atau kanak-kanak, ciri utama ialah ruam yang di sertai oleh demam panas. Bagi orang dewasa dan remaja pula, demam kuat yang berlaku secara tiba-tiba yang berlangsung selama 2-7 hari, sakit kepala, sakit di belakang mata, sakit otot dan sendi yang diikuti oleh ruam yang timbul pada hari ke 3 - 4. Bintik-bintik merah di bawah kulit juga boleh didapati. Penemuan makmal, didapati jumlah leukosit dan platelet dalam darah menurun.
Manakala bagi Demam Denggi Berdarah pula kebiasaannya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur 2-13 tahun. Pada tahap awal (selama 2-4 hari) gejala yang dihidapi adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah. Ianya mempunyai 4 ciri klinikal yang utama seperti demam yang sangat panas, pendarahan, pembesaran hati dan kegagalan sistem peredaran darah. Pendarahan yang berlaku adalah seperti bintik-bintik merah di bawah kulit, pendarahan hidung, gusi, darah dalam najis (najis berwarna hitam), kencing berdarah dan kadang kala mendapat haid yang berlebihan. Kegagalan atau gangguan peredaran darah ditunjukkan melalui tanda-tanda seperti kesejukan dan kongesti kulit, kebiruan dan peningkatan kadar nadi. Mereka juga kelihatan resah dan lemah dan kemudian dengan cepat mengalami renjatan atau sawan. Keadaan ini juga dipanggil sebagai 'Dengue Shock Syndrome'(DSS). Ia sering menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera. Penemuan makmal mendapati Thrombositopenia yang disertai dengan hemokonsentrasi yang ditunjukkan oleh peningkatan nilai hematokrit.
Bagaimana penyakit denggi boleh menular serta faktor-faktor yang mempengaruhi penularannya
Faktor-faktor yang mempengaruhi penularan penyakit ini adalah antaranya disebabkan oleh terdapat banyak tempat air bertakung yang mana ianya menjadi sumber tempat nyamuk Aedes membiak. Disamping bekas buatan, nyamuk Aedes juga boleh berkembang biak dalam berbagai-bagai bekas alamiah seperti lubang pada pokok, tunggul pokok, buluh, ketiak daun seperti daun pandan dan nenas dan lain-lain tempat yang boleh menyebabkan air bertakung. Selain itu, kempen tradisi kebersihan kawasan ‘gotong royong’ tidak dijalankan oleh penduduk kampung kerana ia lazimnya ditumpukan terhadap kebersihan am. Aktiviti seumpama ini tidak mengurangkan tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Implikasi penyakit denggi secara menyeluruh
Strategi dan pelan tindakan dalam melaksanakan aktiviti pencegahan dan kawalan terhadap penyakit denggi
Aktiviti pencegahan dan kawalan terhadap penyakit boleh dilakukan melalui proses pembelajaran kesihatan dan publisiti. Antaranya kursus ulangkaji mengenai kawalan penyakit denggi hendaklah diberikan dari semasa ke semasa di peringkat tempatan / negeri / kebangsaan. Kerajaan Negeri dan Penguasa Tempatan hendaklah dilibatkan sepenuhnya dalam kempen dengan kepimpinan di peringkat negeri di ketuai oleh Kerajaan Negeri. Struktur Gerakan Pembaharuan yang ada pada dewasa ini hendaklah digunakan sepenuhnya apabila perlu, seperti Jawatankuasa Pembangunan Negeri, Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung. Jabatan Penerangan dan Badan-Badan Sukarela hendaklah diberitahu peranan masing-masing supaya mereka dilibatkan secara aktif dalam kempen-kempen yang bakal diadakan. Sekolah-sekolah hendaklah digunakan supaya murid-murid dapat membantu dalam usaha pencegahan di rumah dan pihak guru hendaklah melaporkan kes yang disyaki keatas pelajar. Manakala Pegawai Kesihatan Berkuasa adalah bertanggungjawab mengawasi dan mengesan rapi (monitor) kejadian/kematian penyakit denggi di peringkat tempatan/negeri. Sekiranya terdapat kes denggi, rawatan dan isolasi haruslah dilakukan dengan segera supaya ianya tidak akan terus merebak kepada orang lain. Kemudian, notifikasi haruslah dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan supaya tindakan pencegahan akan di ambil. Ini melibatkan pemeriksaan kawasan perumahan pesakit dan penyemburan ubat nyamuk (fogging). Peranan yang lebih besar dimainkan oleh Penguasa Tempatan dalam pencegahan dan kawalan denggi termasuk penguatkuasaan Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit 1975.
Kebersihan asas persekitaran sekeliling adalah merupakan langkah penting dalam melaksanakan aktiviti pencegahan terhadap penyakit. Penekanan hendaklah ditumpukan kepada pemusnahan tempat pembiakan Aedes Aegypty dan Aedes Albopictus. Tujuannya ialah untuk membuang dan memusnahkan semua takungan air yang tidak berguna seperti tayar lama, tin, botol, tempurung dan menggunakan penutup yang ketat untuk bekas takungan air. Kempen Anti Denggi haruslah diadakan kepada masyarakat bagi menjayakan program pencegahan dan kawalan terhadap penyakit denggi ini. Ceramah atau informasi mengenai penyakit denggi mestilah disampaikan kepada masyarakat. Contohya lindungi diri dari gigitan nyamuk dengan menggunakan kelambu dan ubat nyamuk. Juga elakkan dari melawat atau berkunjung ke kawasan berisiko tinggi pada siang hari. Ini adalah kerana nyamuk Aedes bukanlah serangga malam. Waktu puncak ia mencari makan ialah di awal pagi dan awal senja.
Dalam pada itu, kawalan secara kimia haruslah dilakukan seperti bahan pemusnah jentik-jentik yang sesuai (misalnya abate) akan digunakan oleh penghuni/tuan rumah secara meluas untuk menghindarkan pembiakan nyamuk aedes. Abate hendaklah senang diprolehi oleh orang ramai. Dimana terletaknya tempat menjual / peruncit Abate hendaklah diberitahu seluas-luasnya kepada penduduk. Langkah mungkin diambil untuk mendapat bantuan dari Badan-Badan Sukarela seperti Bulan Sabit Merah, Kumpulan/Pertubuhan Agama, Jawatakuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, stesyen minyak petrol, klinik swasta, Majlis Daerah/ Perbandaran, Bandaraya Kuala Lumpur, sekolah dan sebagainya untuk menyimpan dan menjual abate kepada orang ramai. Penyertaan aktif semua penghuni/tuan rumah amatlah diperlukan terutama sekali dalam kegunaan abate untuk menjaga kawasan halaman supaya bersih dan bebas dari pembiakan Aedes. Pencarian jentik-jentik dan Penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 hendaklah dijalankan. Segala tindakan mahkamah hendaklah diberi publisiti secara besar-besaran. Semburan Pengasapan Pencegahan (Preventive Fogging) haruslah dilakukan di kawasan sensitif dimana Indeks Aedes dan /atau Indeks Breteau berterusan tinggi, sungguh pun segala aktiviti kawalan denggi telah pun dijalankan. Berbagai kumpulan masyarakat dan organisasi hendaklah digunakan dan dilibatkan dalam kempen ini.
Strategi bagaimana mendapatkan penglibatan masyarakat dan pelbagai agensi dalam melaksanakan pelan pencegahan dan kawalan penyakit denggi
Bagi mendapatkan penglibatan masyarakat dan pelbagai agensi dalam melaksanakan pelan pencegahan dan pengawalan adalah dengan langkah mengadakan promosi kesihatan kepada komuniti terutamanya bagi mereka yang tinggal di kawasan yang berisiko tinggi terkena wabak denggi. Selain itu, ia juga boleh dilaksanakan melalui kempen kepada orang awam dalam membanteras penularan atau pembiakan nyamuk Aedes. Contohnya, dengan menggalakkan orang ramai menggunakan abate di dalam kolah dan bekas takungan air bagi membunuh jentik-jentik nyamuk Aedes. Pengawalan dan pencegahan wabak denggi juga boleh dilakukan melalui aktiviti gotong-royong dan pembersihan kawasan dengan melibatkan semua anggota masyarakat termasuklah pihak yang bertanggungjawab dalam melakukan aktiviti fogging di kawasan yang terbabit dalam wabak ini. Pihak kementerian kesihatan pula haruslah berperanan dalam memaklumkan kepada Pengetua atau Guru Besar Sekolah untuk membuat pengumuman dalam perhimpunan pagi bagi menggerakkan pelajar-pelajar untuk memeriksa halaman rumah dan kolah-kolah dalam rumah untuk membasmi pembiakan jentik-jentik. Pelajar digalakkan untuk mengutip jentik-jentik yang dijumpai untuk ditunjukkan kepada guru. Sebagai imbuhan mereka yang menjumpai dan memusnahkan jentik-jentik akan diberi cenderamata seperti key-chain dan sebagainya sebagai penghargaan. Pendidikan kesihatan juga haruslah diberikan kepada penduduk-penduduk di semua kawasan mengenai fakta asas kesihatan dan fakta mengenai wabak denggi agar langkah-langkah pencegahan dapat diambil oleh setiap individu sekaligus dapat mengelakkan wabak ini dari terus merebak.
Rujukan :
http://www.infosihat.gov.my/PDF%20Penyakit/Denggi.pdf
http://www.infosihat.gov.my/Penyakit_Denggi_p1.html
http://161.142.92.99/dengue/kelas.htm
http://www.vikipedia.com.my/RedSpot/ms_redspot_wabakDengggi.html
catatan yang baik. mohon izin dikongsi dengan orang lain.
ReplyDeleteok beres
ReplyDelete